Tak hafal sifir 9? Jangan risau! Buka kesemua sepuluh jari tangan kamu. Kalau nak kira 9 × 3, lipat jari ketiga dari kiri. Sekarang tengok jari yang masih terbuka. Di kiri ada 2 jari dan di kanan ada 7 jari. Gabungkan nombor itu menjadi 27. Itulah jawapan bagi 9 × 3! Cuba pula untuk sifir 9 yang lain.
Apabila membaca soalan penyelesaian masalah yang panjang, gariskan kata kunci terlebih dahulu supaya mudah tahu apa yang perlu dikira.
Ramai murid hilang markah kerana terlupa menukar unit! Contohnya, soalan minta jawapan dalam meter (m), tetapi kamu mengira menggunakan sentimeter (cm). Sebelum mula mengira, bulatkan dahulu unit yang diminta dalam soalan supaya tidak tersilap.
Daripada berkata "Wah, bijaknya anak Ibu dapat 100 markah!", tukar kepada "Ibu bangga tengok adik usaha buat latihan semalam sampai faham." Ini membina Growth Mindset supaya anak tidak takut gagal.
Kanak-kanak sekolah rendah biasanya dapat memberi tumpuan selama 20 hingga 30 minit. Gunakan teknik mudah ini supaya pembelajaran lebih menyeronokkan.
Bawa anak ke pasar raya dan minta mereka bantu mengira. Contoh: "Kalau satu tin susu berharga RM3.20, berapa harga untuk 3 tin?" Ini membuatkan mereka sedar Matematik amat berguna, bukannya sekadar subjek atas kertas.